TURIN - Doktor-doktor di Itali kelmarin memberikan kebenaran kepada polis untuk menyoal siasat seorang doktor Amerika Syarikat (AS), Mark Weinberger yang ditemui tinggal dalam khemah di kaki Gunung Mont Blanc pada minggu lalu.
|
|
Menurut seorang jurucakap sebuah hospital, keadaan kesihatan Dr. Weinberger kini semakin baik selepas dia cuba membunuh dirinya dengan menikam leher sejurus diberkas pihak polis pada 15 Disember lalu di Val Ferret, di utara Itali bersempadan dengan Perancis.
Dia ditahan di sebuah khemah yang dibina pada ketinggian 1,828 meter di gunung tersebut.
Kecederaan yang dialaminya akibat menikam diri sendiri itu tidak membahayakan dirinya.
Doktor-doktor yang memeriksa keishatannya kelmarin memberikan kebenaran untuk polis menyoal siasatnya.
Weinberger yang berumur 46 tahun dan berasal dari Merrillville, Indiana menghilangkan diri dari klinik pembedahannya sejak lima tahun lalu.
Dia menghilangkan diri semasa terdapat banyak dakwaan penipuan dan kesilapan diagnosis dikemukakan terhadapnya.
Doktor hidung itu menghilangkan diri semasa membawa bekas isterinya, Michele Kramer bercuti ke Pulau Mykonos, Greece pada 2004.
Dia meninggalkan isterinya yang sedang tidur di dalam sebuah bot dengan melarikan pasport dan sejumlah wang.
Kramer kemudian memohon cerai tanpa kehadiran suaminya itu pada 2006 setelah menyedari penipuan Weinberger yang tidak membayar bil marina berjumlah AS$40,000 (RM137,391).
Bekas peguam Weinberger, James Hough berkata, lelaki itu berdepan 300 tuntutan saman daripada sejumlah pesakit yang mendakwa silap didiagnosis atau tidak menerima rawatan yang sepatutnya.
Weinberger didakwa pernah mengenakan caj sehingga AS$40,000 untuk satu pembedahan hidung malah pernah menjalankan sebanyak 15 pembedahan dalam masa seminggu.
Pada 2006, juri tertinggi persekutuan AS mendakwa doktor itu dengan 22 pertuduhan penipuan kerana mengenakan bil kepada syarikat insurans untuk rawatan yang tidak dibuat.
Para penyiasat mendapati, klinik Weinberger di Merrillville, Indiana hanya memiliki AS$7,000 (RM24,043) dalam akuan bank tetapi berhutang sebanyak AS$7 juta (RM24 juta).
Sumber: Agensi
0 Responses So Far: