SELEPAS dikritik masyarakat antarabangsa kerana terlalu lambat dalam menyalurkan bantuan, Haiti semalam menyerahkan urusan kawalan lapangan terbang utama negara pulau Carribean itu kepada Amerika Syarikat (AS).
Ini membolehkan semua penerbangan bantuan kemanusiaan dari seluruh dunia tiba dan mempercepatkan usaha membangunkan semula Haiti yang langsung lumpuh akibat gempa bumi sekuat 7.0 pada skala Richter pada Selasa lalu.
Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton semalam turut bertemu dengan Presiden Haiti, Rene Preval di lapangan terbang yang datang untuk menghantar bekalan keperluan dan membawa pulang ribuan rakyat AS yang terkandas di negara itu.
Pihak berkuasa Haiti menganggarkan angka mangsa terkorban ialah 200,000 manakala Menteri Dalam Negeri, Paul Antoine Bien-Aime berkata, mereka berjaya mengumpul 50,000 mayat namun jumlah sebenar yang maut belum dipastikan.
Sebanyak 40,000 mayat dikebumikan dalam satu kubur besar, kata Setiausaha Negara bagi Keselamatan Awam Haiti, Aramick Louis sementara Menteri Kesihatan, Alex Larsen memberitahu, tiga perempat bandar Port-au-Prince perlu dibina semula.
Di selatan ibu negara, pekerja terpaksa membakar lebih 2,000 mayat di dalam sebuah tong sampah kerana terlalu ramai dan pihak Palang Merah menganggarkan satu pertiga daripada sembilan juta rakyat Haiti amat memerlukan bantuan.
Dalam pada itu, kerja menyelamat oleh pasukan kecemasan antarabangsa yang mula datang membanjiri Haiti semakin rancak dijalankan apabila harapan untuk menemui mangsa masih hidup kembali cerah di beberapa kawasan runtuhan.
Seorang krew TV Australia, David Celestino kelmarin menemui seorang budak perempuan berusia 16 bulan, Winnie Tilin yang menangis terperangkap di rumahnya yang runtuh, 68 jam selepas gempa bumi namun, ibu bapanya gagal diselamatkan.
Kisah tuah juga menyebelahi beberapa lagi mangsa termasuk dua pelajar Universiti Port-au-Prince, Mikila Foster, 25, dan Billy Clerge, 27, yang terselamat walaupun 72 jam berada di bawah runtuhan bangunan kampus mereka.
Ia memberi harapan kemungkinan ramai lagi mangsa dapat diselamatkan namun, pihak berkuasa Haiti kini diselubungi kebimbangan ekoran peningkatan jenayah setelah dua juta banduan terlepas dari sebuah penjara.
Sumber: Agensi
0 Responses So Far: